Teori dalam Psikologi
Teori Strukturalisme
Teori Strukturalisme dipelopori oleh Gustav Fechner dan Wilhelm Wundt. Mereka telah menemui asas kajian psikologi secara saintifik. Fechner berpendapat bahawa minda mahupun mental boleh dikaji melalui merakamkan segala reaksi individu untuk berubah dalam apa jua keadaan dan ini dipanggil stimulasi fizikal. Wilhelm Wundt dikenali sebagai individu yang menjadi “asas kepada sains baru”. Beliau juga merupakan individu pertama yang menubuhkan salah satu daripada makmal psikologi yang terawal di dunia yang terletak di Leipzig, Jerman. Beliau juga merupakan pengasas “Psikologi Struktur” yang memecahkan pengalaman kepada anasir-anasir yang dipanggil “pemerasan”. Disamping itu, beliau menegaskan bahawa terdapat struktur fikiran di dalam diri manusia dan digantikan dengan aliran kajian-kajian yang berkaitan dengan “fungsi fikiran”.
Teori Psikodinamik
Sigmend Freud (1856-1939) merupakan seorang ahli psikologi yang terkenal dan paling banyak kontroversi. Beliau dikaitkan denga aliran ‘Psikoanalisa’ iaitu guna gabungan melalui ‘teori sahsiah’ dan ‘teori perkembangan’. Beliau memberikan cadangan yang mengatakan manusia selalunya tidak menyedari mengenai motivasi diri yang sebenar. Tambahan pula, ianya bukan di bawah pengawalan pemikiran dan kelakuan manusia sepenuhnya. Disebabkan cadangan beliau ini, syarahan dan penulisannya telah mendapat tarikan bukan sahaja di Amerika Syarikat malah menjangkaui ke Eropah. Walau bagaimanapun, teori dan kaedah yang dipelopori oleh Freud mengenai personaliti berterusan telah mencetuskan pendebatan yang hangat. Selain daripada itu, teori ini telah menjadi asas ke atas kajian personaliti dan psikologikal tidak terkawal.
Teori Fungsionalisme
Antara individu yang mula-mula memberi pandangan yang bercanggah dan berbeza dengan teori strukturalisme yang dikemukakan oleh Wundt ialah seorang warga Amerika Syarikat iaitu William James. Beliau merupakan anak kepada ahli falsafah terkenal, Henry James. James sangat terpengaruh dengan Theory of Evolution oleh Charles Darwin. Menurut teori ini, kedua-dua anatomi dan kelakuan adalah satu keputusan daripada pemilihan yang semulajadi. Contohnya, jika kita tidak mengenali pisang, minda akan cuba memikirkan apakah objek yang dilihat itu setiap kali melihat pisang. Proses pemikiran akan memberikan sesuatu gambaran berdasarkan kepada pengalaman lalu. James mencadangkan, apabila kita mengulangi sesuatu perbuatan itu berulang kali, sistem pemikiran akan berubah dan setiap kali pengulangan dilakukan ia akan bertambah mudah berbanding yang sebelumnya.
James membangunkan Teori Fungsionalisme sebagai proses pemikiran dan kelakuan. Proses ini mencetuskan persoalan mengenai pembelajaran dan pemikiran kehidupan yang terlalu kompleks. Di samping itu, kesan pengalaman terhadap otak dan manusia masih wujud di dunia secara semulajadi sehingga hari ini. Teori ini jua menjalankan kajian terhadap fungsi jiwa manusia.
Teori Behavionisme
Teori Behavionisme ataupun peneguhan tingkah laku melihat bagaimana organisma mempelajari dan memberi respons terhadap persekitarannya. John B. Watson (1876-1955) yang mula-mula mempelopori teori ini dan kemudiannya dikembangkan oleh Edward L. Thorndike, Edwin R. Guthrie, Pavlov dan B.F. Skinner.
Thorndike menyatakan bahawa jika suatu tingkah laku disertai oleh keadaan atau perkara yang memuaskan, maka tingkah laku ini akan dikekalkan. Sebaliknya, jika tingkah laku disertai oleh keadaan atau perkara yang tidak memuaskan, maka tingkah laku itu tidak akan diulang. Pavlov dikaitkan dengan pelaziman klasik. Dalam eksperimennya, Pavlov menunjukkan bagaimana seekor anjing telah belajar membuat pertalian antara bunyi loceng dengan makanan, hinggakan anjing itu akan mengeluarkan air liur sebaik sahaja bunyi loceng didengar. Skinner pula terkenal dengan pelaziman operasi yang mengukur ganjaran dan dendaan. Dalam eksperimen tersebut, Skinner telah meletakkan seekor tikus yang lapar di dalam sebuah kotak. Pada mulanya, jika tikus itu berjaya menekan tuil, ia akan mendapat makanan. Ini menyebabkan gerak balas itu di ulang-ulang beberapa kali. Kemudiannya, Skinner telah memutuskan hubungan tuil dengan makanan. Ini bermakna, apabila tuil ditekan makanan tidak diperolehi lagi. Lama-kelamaan, tikus itu berhenti dari menekan tuil tersebut.
Teori Gestalt dan Humanistik
Perkataan Gestalt berasal dari perkataan Jerman yang bermaksud bentuk, corak atau konfigurasi sesuatu yang diamati. Pengamatan ini muncul disebabkan terdapat segolongan ahli psikologi Jerman yang berminat untuk mengkaji pengamatan. Antara tokoh-tokoh teori semasa peringkat awal perkembangannya ialah Max Wertheimer, Wolfgang Kohler dan Kurt Koffka. Kumpulan ini berpendapat bahawa pembelajaran sering berlaku melalui deria yang mempunyai pertalian yang dinamik dengan prinsip Pragnanz. Prinsip ini berkait rapat dengan pengamatan. Pengamatan mempunyai kecenderungan untuk melihat sesuatu itu sebagai suatu gestalt yang baik dan mempunyai ciri-ciri kestabilan, penimbangan dan keseragaman. Menurut teori ini, persepsi adalah kombinasi antara sensasi atau naluri dalaman dengan rangsangan gerak balas terhadap pengalaman di dalam diri seseorang. Ahli dalam bidang gestalt ini melihat organisma sebagai agen yang aktif menerima, memanipulasi dan mengubah maklumat menggunakan imej, simbol dan idea. Sebahagian daripada elemen ini tidak wujud secara terasing. Sebaliknya ia wujud dalam satu organisasi menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, rohani serta akliah.
Seorang ahli psikologi Amerika Syarikat iaitu Abraham Maslow telah memperkenalkan satu pendekatan yang lebih holistik terhadap psikologi iaitu Psikologi Humanistik. Humanistik mementingkan perasaan dan kemahuan yang kuat sebagai kunci utama. Teori ini melihat kepada potensi manusia dan kepentingan kasih sayang, kepunyaan, sifat kendiri dan perasaan sendiri serta banyak lagi yang berkaitan dengan manusia itu sendiri. Psikologi Humanistik memainkan peranan yang penting di dalam kajian motivasi dan perasaan, begitu juga dengan pecahan personaliti dan Psikoterapi. Oleh yang demikian, fahaman ini menjurus kepada persoalan mengenai maksud, nilai dan etika.
Teori Kognitif
Para pendokong teori ini terdiri daripada Robert Lee, Robin Lakoff, D. Slobin dan ramai lagi. Teori ini menjelaskan bahawa manusia mempunyai peringkat otak dan saraf yang tinggi. Maksudnya, manusia mampu untuk mempelajari pelbagai perkara. Dengan kata lain, teori ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan semulajadi untuk menguasai bahasa. Kebolehan ini disebut sebagai language Acquisition Device (LAD) dan membolehkan manusia memperoleh bahasa ibundanya. Pandangan Kognitif ini dengan jelas menolak saranan daripada teori Behavionisme yang menyatakan bahawa tingkah laku diperolehi melalui rangsangan dan gerak balas mekanis semata-mata.
Sejarah Perkembangan Psikologi
Perkataan “Psikologi” berasal daripada dua perkataan Greek iaitu; psyche yang bermakna jiwa, minda, semangat ataupun roh; logos yang bererti kajian tentang sesuatu. Justeru, psikologi membawa maksud ilmu jiwa atau kajian mengenai jiwa, minda mahupun semangat manusia.
Istilah “psikologi” yang berasal dari Greek ini menggambarkan tanggapan ahli-ahli fikir Greek dahulukala tentang manusia terdiri daripada dua bahagian yang berasingan iaitu jasmani dan rohani. Bidang ini bermula sebagai perbincangan falsafah. Setelah zaman Greek, perbincangan ini telah bercambah dan berkembang daripada bidang falsafah kepada satu bidang pengajian yang tersendiri. Aristotle, seorang ahli fikir Greek Tua dikenali sebagai orang yang mula-mula mencuba untuk memahami psikologi secara sistematik yang merangkumi tentang cara manusia berfikir dan mempercayai sesuatu.
Psikologi moden bermula di Eropah. Pengasasnya ialah Wilhelm Wundt yang menjadi orang pertama menubuhkan makmal psikologi. Sejarah telah mencatatkan bahawa tumpuan psikologi awal ialah mengkaji aspek-aspek sensasi (sensation), persepsi (perception), dan tumpuan (attention). Hermann Ebbinghaus, dari Jerman, merupakan ahli psikologi yang pertama mengkaji pembelajaran secara saintifik. Pada tahun 1879, beliau menggunakan dirinya sendiri sebagai subjek dalam eksperimen yang mengkaji pembelajaran dan ingatan. Hermann Ebbinghaus juga terkenal dengan eksperimen yang menunjukkan fenomena ingatan di kalangan manusia.
Kajian mengenai psikologi biasanya akan berkisar dengan kajian dan penulisan asal; John B Watson. Pada tahun 1913, Watson telah merumuskan mengenai tingkah laku di dalam penulisannya bertajuk “Psychology as the Behaviorist Views It”. Watson menentang penggunaan rumusan sendiri atau penilikan sendiri dalam mengumpulkan maklumat psikologi. Beliau mengatakan bahawa pemerhatian tingkah laku merupakan satu-satunya kaedah untuk mengumpul maklumat psikologi. Menurut Watson, minda atau kesedaran perlu disingkirkan dari bidang psikologi.
Pendahuluan
Definisi psikologi
Psikologi didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku dan proses mental organisma. Psikologi merupakan kajian yang dibuat secara sistematik dan saintifik terhadap tingkah laku manusia. Melalui psikologi kita dapat lihat bahawa tingkah laku manusia adalah berbeza-beza. Bagi memahami seseorang individu, kita perlu mengkaji dan memahami tingkah laku serta tindak balasnya dalam situasi yang berbeza-beza. Menurut C.M.Charles, psikologi boleh didefinasikan sebagai kajian tentang tingkah laku. Berikutan daripada kajian-kajian tersebut, ianya telah digunakan untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, pendidikan dan psikologi saling berkait rapat dan merupakan sebagai satu cabang ilmu dalam pembentukan insan. Malahan ia juga merupakan suatu bidang yang banyak memberikan kesan positif dalam dunia pendidikan terutamanya dalam peningkatan mutu dan prestasi pendidikan.
Crow dan Crow pula mentakrifkan psikologi sebagai kajian tentang tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku ini bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku seseorang individu yang boleh dilihat tetapi merangkumi tindak balasnya terhadap pengaruh batin serta pengaruh persekitaran. Menurut beliau lagi, psikologi sering dikaitkan dengan usaha untuk mendapatkan maklumat tentang cara individu atau sekelompok manusia pada peringkat umur yang berlainan dan tindak balas terhadap rangsangan dari alam sekitarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)


