PERKEMBANGAN PSIKOLOGI


Erik Erickson mempercayai bahawa manusia berpotensi untuk mengalami perkembangan psikologi yang sihat. Beliau berpendapat manusia berupaya mengatasi kesulitan yang timbul dari semasa ke semasa pada peringkat-peringkat perkembangan tertentu. Kajian Erickson mencadangkan bahawa bila dan di mana perkembangan manusia adalah sangat penting untuk mereka membesar dan mengalami perubahan cara hidup, yang perkembangan persendirian. Erik Erickson telah mengenalpasti lapan seperti berikut sama dalam tahap-tahap dalam perkembangan manusia.



(i) Kepercayaan lawan ketidakpercayaan (0 – 18 bulan)

Tahap pertama menumpukan kepada pembangunan,kepercayaan dan tidak kepercayaan. Peringkat perkembangan ini amat penting pada tahap ini. Bayi akan mempelajari bahawa dunia ini adalah tempat yang selamat baginya dan manusia yang wujud disekeliling adalah penyayang dan menghargai dirinya. Menurut Erickson, kepercayaan seseorang akan meningkat apabila keluarga atau penjaganya menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dengan konsisten dan memudahkan individu menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup. Tanggungjawab ini merangkumi pemberian makanan, pemberian kasih sayang dan keselesaan hidup. Sekiranya tanggungjawab ini tidak dilaksanakan dengan baik, maka sifar ketidakpercayaan akan wujud di dalam diri seseorang yang terlibat. 

(ii) Autonomi lawan perasaan malu dan keraguan (18 bulan – 3 tahun)

Pada amnya, tahap kedua ini, mulai umur 18 bulan, konsep diri seseorang mula bertambah nyata. Kanak-kanak mula mengetahui bahawa apa yang dia cakap serta buat merupakan tindakannya dan bukan tindakan orang lain seseorang kanak-kanak akan cuba menyelesaikan persoalan berkaitan latihan di tandas. Pada peringkat ini, mereka cuba menyesuaikan keadaan dengan arahan-arahan yang dianggap rumit dan leceh. Pada tahap ini, Erickson menyatakan seseorang itu akan mengalami proses penanaman keyakinan diri dan pengawalan diri serta mencadangkan supaya ibu-bapa memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka di masa yang sama membimbing mereka untuk melakukan sesuatu dengan betul dan memaklumkan mereka tentang keperluan untuk mereka mematuhi batasan-batasan yang telah ditetapkan. Dengan cara ini, kanak-kanak akan mengenal jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan serta yang dielakkan.

(iii) Inisiatif lawan perasaan bersalah (3-6 tahun)

Mengikut teori Erickson, pada tahap ke tiga individu akan menjalani proses pembentukkan sifat tidak bergantung kepada orang lain dan cuba mencari jalan penyelesaiaan sendiri untuk sesuatu masalah yang berkaitan dengan kehidupan dan perasaan autonomini (jika digalakkan) sudah pun mencapai aras perkembangan yang tinggi. Pada tahap ini kanak-kanak akan mencari dan bertindak mengikut kehendak diri mereka. Kanak-kanak seharusnya diberikan peluang untuk menyelesaikan masalah yang timbul mengikut pertimbangan mereka. Selain itu juga, kanak-kanak akan berlatih menilai sama ada jalan penyelesaian yang telah mereka ambil itu dapat menyelesaikan masalah yang timbul atau sebaliknya. Dan pada peringkat itu juga mereka akan menerokai dan mencuba sesuatu yang baru serta mencabar. Keinginan inisiatif amat penting dalam lingkungan umur 3 hingga 6 tahun. Melalui galakan yang diberi kepada kanak-kanak untuk meneroka dan mencuba, mereka akan menyedari keupayaan serta potensi mereka. Mereka akan mula mengetahui yang mereka itu boleh mengarahkan diri sendiri untuk mencapai sesuatu yang berfaedah. Kanak-kanak dalam keadaan tersebut akan membesar menjadi orang dewasa yang berinisiatif.


(iv) Ketekunan lawan rasa rendah diri (6-12 tahun)

Tahap ini mengajar kanak-kanak mengenali erti kesabaran dan ketekunan di dalam menguasahakan sesuatu di samping menanamkan sifat ingin berjaya di dalam diri individu terbabit. Kanak-kanak ini akan belajar untuk menghadiahkan sesuatu kepada diri mereka. Ketika mencapai umur 6 tahun, seseorang kanak-kanak amat bertenaga dan kebolehan berbahasa juga telah meningkat. Proses ini selalunya berjalan di alam persekolahan, di mana kanak-kanak bermain dan cuba untuk menjadi pemenang dalam suatu permainan. Apabila mereka mula mencapai peringkat operasi konkrit, iaitu mereka berupaya menggambarkan transformasi dan pertalian antara dua situasi yang berkaitan, memahami konsep pembalikan serta berfikiran logik. Mereka juga boleh memahami konsep ruang, kelajuan, masa dan sebab musabab satu-satu kejadian. Mereka boleh menyusun idea-idea mengikut urutan. Mereka boleh cuba memahami suatu idea dari pelbagai segi. Ini bermakna mereka telah bersedia untuk menerima pandangan orang lain. Menurut Erickson, kanak-kanak pada ini perlu menyalurkan tenaga mereka ke arah menghasilkan sesuatu yang baik.

(v) Identiti lawan kekeliruan identiti (12-18 tahun)

Peringkat hidup ini merupakan peringkat remaja. Ini amat penting dalam menentukan nilai-nilai dan identiti seseorang. Remaja agak keliru tentang tujuan dan aspirasi diri serta harapan orang lain. Individu akan tertanya-tanya ;siapakah saya sebenarnya? Apakah perhubungan saya dengan orang lain? Akibat keraguan ini, remaja akan meniru pelbagai tingkah laku orang dewasa seperti guru, bintang filem, penyanyi dan sebagainya. Pembentukkan personaliti individu pada tahap ini banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya dan idola yang mereka pilih. Oleh sebab itu kita lihat peringkat umur ini remaja akan mudah terpengaruh dengan penampilan artis-artis yang menjadi idola mereka. Adalah penting untuk ibu-bapa dan masyarakat membantu golongan remaja ini untuk membuat pilihan yang tepat di dalam menentukan identiti diri mereka. Pada peringkat remaja akan dipupuk dengan sifat ketaatan dan kesetiaan di mana mereka akan cuba untuk bergerak sama-sama rakan sebaya mereka dan cuba untuk mempertahankan identiti diri mereka walaupun ianya ditentang oleh pihak-pihak tertentu. Mereka sedaya upaya mereka akan cuba untuk mengikut apa yang dilakukan oleh rakan sebaya atau idola mereka. Pemilihan rakan sebaya dan idola yang tepat akan banyak membantu dalam melahirkan individu yang mempunyai personaliti yang positif. Sebagai contoh jika remaja itu menjadikan bapanya sebagai idola maka segalanya tindak tanduk dan kejayaan bapanya akan dicuba untuk diikuti dan dicapai. Namun begitu jika individu yang gagal mencari identiti diri mereka akan merasa diri mereka terpinggir dan disisihkan masyarakat.

(vi) Kerapatan lawan pengasingan (18-35 tahun)

Elemen terpenting pada tahap ini menurut Erikson ialah elemen kasih sayang melalui keakraban perhubungan.  Perlu ditegaskan keintiman atau keakraban tidak semestinya hubungan antara dua individu yang berlain jantina. Individu yang telah mempunyai identiti diri akan rasa bersedia untuk berkongsi identiti mereka bersama orang lain. Individu terbabit akan menilai sama ada identiti yang telah dipilihnya pada peringkat sebelumnya itu membantunya untuk diterima masuk di dalam masyarakat ataupun akan menyebabkan dirinya terpinggir daripada masyarakat. Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan mendirikan rumah tangga. Cara ini lah yang membolehkan orang dewasa berkongsi hidup bersama serta mencapai kemesraan dan kerapatan. Sebaliknya, orang dewasa yang masih bujang atau tidak berkhawin akan berasa sunyi serta mengalami rasa pengasingan.

(vii) Generaviti lawan pemusatan kendiri (35-60 tahun)

Generaviti merujuk kepada usaha seseorang untuk memberi sumbangan dan perkhidmatan untuk generasi akan datang. Menurut Erickson, pada tahap ini individu akan cuba memupuk di dalam diri mereka sifat mengambil berat terhadap orang lain. Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan berpuas hati jika dapat membantu anak-anak menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara. Selain itu, individu berkenaan juga ingin membantu orang lain dalam kesusahan serta menjalankan kerja amal. Sifat ini dapat dipupuk melalui pemikulan tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk mengasuh, mendidik, memberi makan dan keselesaan hidup kepada anak-anak. Pada tahap ini individu tersebut akan dinilai sama ada mereka adalah individu yang aktif atau pasif dalam membantu membangunkan masyarakat yang lebih baik.

(viii) Kesepaduan lawan putus asa (60 tahun hingga akhir hayat)

Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan sentiasa melakukan refleksi kendiri. Dia akan mengingati kembali kejayaan dan kegagalan yang dialami pada peringkat-peringkat awal. Jika individu itu berasa puas hati dan telah berjaya mengatasi masalah-masalah yang dialaminya pada peringkat-peringkat awal, dia akan mencapai rasa kesepaduan. Sebaliknya, kalau seseorang individu sentiasa menyesal tentang peluang-peluang yang terlepas pada masa yang lalu atau gagal mengatasi masalah-masalah pada peringkat umur yang awal, dia akan berputus asa. Pada tahap terakhir ini juga individu akan menilai pencapaian hidup mereka dan bertanya kepada diri mereka kesediaan untuk menghadapi kematian. Persoalan utama yang akan bermain di minda mereka adalah apakah yang telah dicapai oleh mereka selama ini. Jika individu terbabit telah pun mencapai matlamat yang telah ditetapkannya ataupun dapat menerima kegagalan mereka dalam melakukan beberapa perkara di masa lalu, maka individu tersebut akan bangga dengan kejayaannya dan akan berusaha untuk melahirkan generasi baru yang lebih baik daripada mereka.