Sejarah Perkembangan Psikologi

Perkataan “Psikologi” berasal daripada dua perkataan Greek iaitu; psyche yang bermakna jiwa, minda, semangat ataupun roh; logos yang bererti kajian tentang sesuatu. Justeru, psikologi membawa maksud ilmu jiwa atau kajian mengenai jiwa, minda mahupun semangat manusia.

Istilah “psikologi” yang berasal dari Greek ini menggambarkan tanggapan ahli-ahli fikir Greek dahulukala tentang manusia terdiri daripada dua bahagian yang berasingan iaitu jasmani dan rohani. Bidang ini bermula sebagai perbincangan falsafah. Setelah zaman Greek, perbincangan ini telah bercambah dan berkembang daripada bidang falsafah kepada satu bidang pengajian yang tersendiri. Aristotle, seorang ahli fikir Greek Tua dikenali sebagai orang yang mula-mula mencuba untuk memahami psikologi secara sistematik yang merangkumi tentang cara manusia berfikir dan mempercayai sesuatu.



Psikologi moden bermula di Eropah. Pengasasnya ialah Wilhelm Wundt yang menjadi orang pertama menubuhkan makmal psikologi. Sejarah telah mencatatkan bahawa tumpuan psikologi awal ialah mengkaji aspek-aspek sensasi (sensation), persepsi (perception), dan tumpuan (attention). Hermann Ebbinghaus, dari Jerman, merupakan ahli psikologi yang pertama mengkaji pembelajaran secara saintifik. Pada tahun 1879, beliau menggunakan dirinya sendiri sebagai subjek dalam eksperimen yang mengkaji pembelajaran dan ingatan. Hermann Ebbinghaus juga terkenal dengan eksperimen yang menunjukkan fenomena ingatan di kalangan manusia.

Kajian mengenai psikologi biasanya akan berkisar dengan kajian dan penulisan asal; John B Watson. Pada tahun 1913, Watson telah merumuskan mengenai tingkah laku di dalam penulisannya bertajuk “Psychology as the Behaviorist Views It”. Watson menentang penggunaan rumusan sendiri atau penilikan sendiri dalam mengumpulkan maklumat psikologi. Beliau mengatakan bahawa pemerhatian tingkah laku merupakan satu-satunya kaedah untuk mengumpul maklumat psikologi. Menurut Watson, minda atau kesedaran perlu disingkirkan dari bidang psikologi.