Pendahuluan


Definisi psikologi

Psikologi didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku dan proses mental organisma. Psikologi merupakan kajian yang dibuat secara sistematik dan saintifik terhadap tingkah laku manusia. Melalui psikologi kita dapat lihat bahawa tingkah laku manusia adalah berbeza-beza. Bagi memahami seseorang individu, kita perlu mengkaji dan memahami tingkah laku serta tindak balasnya dalam situasi yang berbeza-beza. Menurut C.M.Charles, psikologi boleh didefinasikan sebagai kajian tentang tingkah laku. Berikutan daripada kajian-kajian tersebut, ianya telah digunakan untuk meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, pendidikan dan psikologi saling berkait rapat dan merupakan sebagai satu cabang ilmu dalam pembentukan insan. Malahan ia juga merupakan suatu bidang yang banyak memberikan kesan positif dalam dunia pendidikan terutamanya dalam peningkatan mutu dan prestasi pendidikan. 

Crow dan Crow pula mentakrifkan psikologi sebagai kajian tentang tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku ini bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku seseorang individu yang boleh dilihat tetapi merangkumi tindak balasnya terhadap pengaruh batin serta pengaruh persekitaran. Menurut beliau lagi, psikologi sering dikaitkan dengan usaha untuk mendapatkan maklumat tentang cara individu atau sekelompok manusia pada peringkat umur yang berlainan dan tindak balas terhadap rangsangan dari alam sekitarnya.